Tinta Hikmah
Bermula dengan Majlis Mini Inspirasi Penerbit UMPSA yang diadakan pada pertengahan tahun 2020 secara berkala setiap dua bulan di Perpustakaan UMPSA Pekan, bagi merai dan melancarkan buku-buku hasil penulisan para pensyarah UMPSA sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan motivasi dan kualiti penerbitan karya ilmiah demi mencapai pemerkasaan dan penyebaran ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Sejak daripada itu, inisiatif ini terus berkembang demi kesinambungan ekosistem penerbitan ilmiah kekal releven dalam menghadapi arus teknologi dan cabaran kepintaran kandungan.
Tinta Hikmah – adalah lahir daripada inspirasi dan aspirasi majlis tersebut yang mana buat pertama kali Penerbit UMPSA menggabungkan Mini Majlis Inspirasi tersebut dalam sebuah majlis yang lebih komprehensif dan berimpak dengan tambahan nilai untuk menghargai para karyawan dan penulis yang telah banyak memberi sumbangan dan jasa dalam penerbitan ilmiah melalui Penerbit UMPSA selama ia ditubuhkan sejak tahun 2005 khususnya dalam Bahasa Melayu. Pada tahun 2024, Penerbit UMPSA mengambil langkah ke hadapan dalam memperkenalkan beberapa hadiah penghargaan, anugerah sanjungan dan karyawaan kepada para penulisnya yang selama ini telah banyak menyumbang kepada pembinaan kandungan dan korpus ilmu untuk bacaan umum dan komuniti akademik dalam bahasa Melayu.
Tinta Hikmah adalah manifestasi takrif ‘keunggulan ilmu yang ditulis dengan bijaksana demi memandaikan bangsa’, justeru itu selayaknya golongan yang mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk menghasilkan karya ilmiah dan penulisan yang berkualiti diberi penghormatan dan penghargaan – kerana dengan pena mereka, dengan dakwat yang menitis di atas kertas putih, lantas menjadi lembaran buku untuk dibaca dan dihadam segala ilmu yang terkandung di dalamnya demi kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat.
Lantaran itu, Majlis Tinta Hikmah sebuah nama yang diberi, terkandung falsafah yang dalam untuk para karyawan UMPSA diangkat sebagai insan barisan hadapan universiti dalam mempertahankan integriti ilmu, penerokaan inovasi baharu, pencerah isu dan masalah dan membina pengetahuan untuk kesejahteraan manusia. Terdapat tiga kategori penghormatan yang diperkenalkan kepada para penulis Penerbit UMPSA, iaitu Hadiah Penghargaan, Anugerah Sanjungan dan Anugerah Karyawan. Hadiah Penghargaan diberikan kepada mereka yang konsisten dan aktif menyumbang karya, menyokong editorial, memberi komitmen dan dedikasi kepada penerbitan universiti, khususnya Penerbit UMPSA.
Anugerah Sanjungan pula diberikan kepada para karyawan yang telah membuktikan hasil karya mereka diiktiraf sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Manakala Anugerah Karyawan pula diberikan kepada penulis atau buku yang tidak hanya diiktiraf di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, bahkan berupaya membina jaringan kerjasama penerbitan dengan pihak industri, mampu membawa geran penerbitan daripada pihak luar, penulisan berkualiti tinggi, mampu menjana pendapatan universiti melalui buku tulisan mereka di samping bersungguh-sungguh dalam memartabatkan bahasa Melayu melalui Penerbit UMPSA Inilah serba sedikit latar Majlis Tinta Hikmah yang bertujuan mengiktiraf dan menghargai usaha murni para karyawan Penerbit UMPSA.

EN. MUHAMMAD AZLI SHUKRI
Ketua Editor/Ketua Pentadbiran, Penerbit UMPSA

